PENDAHULUAN


Isipadu cecair merupakan salah satu topik baru dalam mata pelajaran Matematik sekolah rendah di Malaysia. Isipadu cecair merupakan kuantiti atau kapasiti berbentuk cecair dalam sesuatu bekas. Topik isipadu cecair untuk murid tahun 2 diukur menggunakan unit bukan piawai. Unit bukan piawai yang digunakan merupakan bahan atau alatan yang terdapat di persekitaran murid itu sendiri seperti gelas, cawan, mug, jag, botol mangkuk dan lain-lain yang sesuai untuk mengisi cecair. Namun begitu, untuk mengukur isipadu cecair unit yang biasa digunakan ialah mililiter (ml) dan liter ( l ). Alatan yang digunakan untuk mengukur unit piawai isipadu ialah silinder penyukat, kelalang kon, tabung uji dan bikar.
Fokus utama tugasan ini ialah berkaitan dengan salah konsep tentang isipadu cecair di dalam bekas. Menurut Jean Piaget (1896-1980), pada peringkat awal perkembangan kanak-kanak, mereka keliru untuk menentukan kandungan cecair di dalam sesuatu bekas. Kajian yang dibuat oleh Jean Piaget ini dapat diperhatikan seperti dalam tayangan video http://www.youtube.com/watch?v=qYtNhNP69lk . Dalam tayangan video ini, kanak-kanak tersebut gagal menentukan kandungan air di dalam bekas yang sama apabila dituang ke dalam gelas yang lebih tinggi walaupun mempunyai kapasiti yang sama tetapi kanak-kanak ini menyatakan bahawa gelas yang tinggi mengandungi kandungan susu yang lebih berbanding gelas yang lebih besar dan rendah. Keadaan ini terjadi kerana kanak-kanak mempunyai idea tentang tinggi dan rendah dalam pemikiran mereka. Kanak-kanak kurang pendedahan tentang isipadu atau kapasiti.
Bagi mengatasi masalah salah konsep berkaitan isipadu, guru patut memainkan peranan penting bagi membetulkan keadaan ini. Proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah haruslah menitikberatkan konsep sebenar sesuatu kapasiti dalam pelbagai variasi bekas yang digunakan. Cara terbaik dalam menjalankan pengajaran dan pembelajaran topik isipadu cecair ialah dengan menggunakan perbandingan langsung yang menggunakan unit bukan piawai sebagai langkah permulaan terutamanya untuk murid tahun 2. Penggunaan unit-unit bukan piawai seperti gelas, cawan, mug, jag, botol dan mangkuk dalam perbandingan langsung membina konsep yang kukuh kepada murid-murid tentang isipadu cecair. Selain itu, penggunaan bahan yang ada di sekeliling murid-murid memudahkan pemahaman mereka dan memberi satu pengalaman baru yang menyeronokkan.